Wednesday, 5 November 2014

GST: Syarikat Terlibat Jangan Ambil Mudah Lewatkan Pendaftaran

SEREMBAN, 05 Nov – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hj Hasan menyokong penuh perlaksanaan GST tahun hadapan tanpa sebarang penangguhan tarikh kerana ianya sudah memadai dengan tempoh setahun setengah bagi setiap bisnes entiti mendaftar sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ini.
Beliau mengatakan, perlaksanaan GST adalah tepat pada masanya dan kerajaan diharap tidak melayan karenah sesetengah pihak yang meminta untuk menangguhkan dan menunda perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ini dengan berbagai alasan seperti tidak bersedia dan sebagainya.
“Kenapa perlu dilewatkan pendaftaran sistem GST ini? Di Malaysia, tidak sampai 50% pun bisnes entiti, jadi mengapa perlu ditangguh-tangguhkan lagi?” soalnya.
Ujar beliau, sikap ambil lewa dan mendaftar di saat terakhir perlu dikikis dari sikap masyarakat khususnya pemilik syarikat yang diwajibkan berdaftar dengan sistem GST ini.
“Kerajaan tidak akan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula pada 1 April 2015 dan tiada sebab untuk kita tangguhkan,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma Negeri, hari ini.
“Di Negeri Sembilan, anak-anak syarikat dibawah kerajaan sudah berdaftar dan masih ada lagi yang belum mendaftar dan ini akan merumitkan lagi keadaan di saat-saat terakhir tarikh yang sepatutnya ditetapkan,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment