CANBERRA: Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkata bahasa Melayu mempunyai tempat sebagai bahasa ilmu pengetahuan
dan ia tidak harus dikorbankan dalam usaha untuk memperkasakan Bahasa Inggeris.
Dalam mempertahankan
keputusan kerajaan untuk menukar semula pengajaran Sains dan Matematik ke dalam
bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan
pendirian beliau dalam perkara itu.
"Sebagai seorang
Malaysia, saya tak fikir bahasa saya harus dibunuh hanya kerana saya nak
memperkasakan bahasa Inggeris," katanya pada sesi soal jawab dengan
masyarakat dan penuntut Malaysia pada majlis di sini malam tadi.
Majlis yang berlangsung
di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra adalah acara pertama dalam rangka
lawatan tiga hari Muhyiddin ke ibu negara Australia ini dan Perth.Beliau berlepas ke
Canberra dari Nagoya, Jepun pada tengah hari semalam selepas menghadiri
persidangan antarabangsa mengenai pendidikan bagi pembangunan lestari.
Muhyiddin yang juga
Menteri Pendidikan berkata, pandangan beliau berhubung perkara itu bukan kerana
beliau orang Melayu kerana apa yang lebih penting ialah kebimbangan beliau
terhadap isu penyaluran dan penyerapan ilmu pengetahuan menerusi cara efektif.
"Ini bukan soal
kebangsaan saya semata-mata kerana kalau Malaysia tak mulakan begitu
(memperkasa bahasa Melayu)...bermakna untuk kedua-dua subjek itu bahasa Melayu
akan mati langsung," tegasnya.Muhyiddin menjelaskan
beliau bersikap tidak adil kepada pelajar Malaysia sekiranya langkah untuk
mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris diteruskan dengan mengambil
kira kekangan dihadapi kementerian.
Beliau memberikan contoh
kekurangan guru berkelayakan untuk melaksanakan tugas itu sebagai antara alasan
keputusan diambil untuk memansuhkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa
Inggeris dibuat pada 2009. Beliau menegaskan banyak
daripada mereka adalah produk daripada sistem yang bahasa pengantarnya adalah
bahasa Melayu.
Muhyiddin berkata,
semasa dasar itu dilaksanakan, banyak guru akan secara automatik menggunakan
bahasa Melayu apabila pelajar dalam kelas Sains dan Matematik gagal memahami
apa yang diajar, dan ini menjejaskan tujuan dasar itu diperkenalkan.
Muhyiddin mengambil
perhatian bahawa sesetengah pihak mungkin memberikan alasan bahawa dasar itu
dilaksanakan dengan baik di sekolah-sekolah di kawasan bandar tetapi ia tidak
begitu di kawasan luar bandar dan pedalaman. Timbalan Perdana Menteri
menjelaskan kementerian telah menjalankan kajian mendalam tentang situasi itu
sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung perkara itu.
"Mungkin di sekolah
anda ia adalah okay tetapi bagi banyak sekolah lain ia adalah tidak okay, guru
tidak berkelayakan, pelajar tidak faham. Tetapi apa salahnya bahasa Melayu (untuk
mengajar Sains dan Matematik)? Jadi sekarang kita telah kembali kepada bahasa
Melayu," katanya.
"Dan pelajar boleh
faham. Bagi saya, saya pentingkan ilmu pengetahuan, Sains ialah ilmu
pengetahuan, Matematik ialah ilmu pengetahuan. Bahasa sebagai bahasa pengantar.
Jadi jika anda bimbang tentang bahasa Inggeris, saya akan ajar anda Bahasa
Inggeris," katanya.Muhyiddin memberikan
contoh Jepun yang cemerlang dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan walaupun
semuanya dalam bahasa Jepun.
Antara yang hadir pada
majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datuk Zainal Abidin
Ahmad, ketua agensi-agensi kerajaan di Canberra, staf Suruhanjaya Tinggi dan
rakyat Malaysia yang menetap di Australia.
Admin/Tee
No comments:
Post a Comment