Sunday, 9 November 2014

Mufti Negeri Sembilan pertahankan undang-undang diguna Mahkamah Syariah Negeri



Mufti Negeri Sembilan pertahankan undang-undang diguna Mahkamah Syariah Negeri Sembilan, Dato 
Mohd Yusof  Ahmad mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan tiga lelaki transgender untuk berpakaian dan berkelakuan seperti wanita.
Beliau dilaporkan menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap tiga golongan transgender itu sebagai tidak berasaskan ajaran agama Islam.
“Saya berdiri di atas Mahkamah Syariah Negeri. Undang-undang yang digubal menjunjung tinggi agama Islam melebihi segala-galanya.
“Jadi undang-undang di negeri ini digubal berasaskan agama Islam, al-Quran dan hadis.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang keputusan itu kerana tidak mahu menghina mahkamah,” Mohd Yusof dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.
Semalam, Mahkamah Rayuan memutuskan, Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah melanggar Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.
Panel tiga hakim berkata, Perlembagaan diwujudkan bagi melindungi minoriti dari kezaliman majoriti selain mendapati hakim Mahkamah Tinggi membuat kenyataan dan dapatan yang bertentangan dengan bukti dan dicemari prasangka peribadi yang tidak saintifik.
Mengikut Seksyen 66 Akta Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, mereka yang disabitkan berpakaian silang jantina boleh dihukum sehingga enam bulan penjara, denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment