Monday 17 November 2014

Tangani kebanjiran PATI fokus utama KP baharu Imigresen

Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Datuk Mustafa Ibrahim berikrar tidak akan ‘beri muka' kepada mana-mana pihak yang terlibat membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana boleh memberi kesan buruk kepada negara.

 Sambil memberi amaran kepada semua PATI di negara ini termasuk orang tengah yang terlibat dengan kegiatan itu, Mustafa berkata, Beliau akan memastikan tindakan tegas dikenakan terhadap golongan terbabit.'

Beliau berkata, komitmen tersebut juga sejajar dengan agenda utamanya sebaik sahaja diberi amanah menerajui Jabatan Imigresen, Jumaat lalu iaitu memperkasakan segala usaha serta tindakan supaya masalah kebanjiran PATI di negara ini dapat diatasi segera.

 “Seperti ditegaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, tiada seorang pun yang akan terlepas sama ada majikan atau ejen daripada dikenakan tindakan undang-undang jika mereka didapati bersalah.

 “Oleh itu, sejak awal-awal lagi, saya menganggap pelantikan ini bukanlah satu zon selesa. Saya terpaksa berhadapan cabaran besar dalam melaksanakan tanggungjawab ini lebih-lebih lagi apabila timbul isu kebanjiran PATI sejak kebelakangan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini. Mustafa, 57, yang sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dilantik sebagai Ketua

Pengarah Imigre­sen bagi menggantikan Datuk Aloyah Mamat yang bertukar jawatan sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.

 Dalam perkembangan berkaitan, Mustafa memberitahu, pihaknya sedia bekerjasama dengan suruhanjaya bebas untuk menangani keba­njiran PATI yang sebelum ini telah diumumkan oleh Ahmad Zahid sekiranya diminta berbuat demikian.

 “Saya juga berjanji untuk mela­kukan penambahbaikan pada sistem penyampaian Jabatan Imigresen bagi membolehkan rakyat mendapat khidmat layanan yang mudah dan cepat.

 “Berpandukan slogan Jabatan Imigresen iaitu ‘Mudah, Cepat, Integriti', soal itu turut membabitkan penyelesaian aduan secepat mungkin selain menerima dan mengkaji sebarang cadangan serta teguran bagi memperbaiki sistem penyampaian sedia ada,” katanya.

1 comment: